Novel Asing: Bab 2 Part 1

 BAB 2

 

 

HEMBUSAN angin danau Kota Palo Alto sudah tidak segar seperti dahulu. Udaranya berhaba panas dan menyesakkan pernafasan. Bumi telah mengalami peningkatan suhu sebanyak empat darjah celsius dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini. Tahap gas karbon dioksida yang semakin tinggi di atmosfera bumi memberi impak kepada peleburan glasier banjaran Himalaya dan ketulan ais purba Antartika. 

            Mikayla membuang pandangannya jauh merentasi panorama pohon-pohon hijau yang dilitupi jerebu di sekeliling danau itu. Membawa fikirannya bersama. Masih sedih dan luka hatinya.

            Sudah bermacam cara dilakukan untuk melembutkan hati Inara. Namun pada akhirnya pasti akan menemui jalan buntu. Niat baiknya sentiasa disalah tafsir. Inara benar-benar menanam dendam kesumat terhadapnya.

            Mungkin juga, dia yang tidak tahu bagaimana cara menyalur kasih buat adiknya itu. Tindakannya terlihat seperti mengongkong kebebasan. Namun sebenarnya, dia bimbang kalau-kalau adiknya terpengaruh dengan budaya yang tidak baik. 

            Ada yang beranggapan, kalau sayang ikutkan sahaja kehendaknya. Tapi pada Mikayla tidak. Kerana sayanglah dia perlu bertegas. Kerana sayanglah dia melarang. Kasih-sayang seharusnya membawa ke jalan yang betul, bukannya jalan yang memusnahkan orang yang disayangi. 

Namun, seandainya prinsipnya itu menyebabkan Inara menjauh dan lebih membenci dirinya, patutkah dia beralah? Dan memberikan kebebasan mutlak seperti yang diimpikan adiknya itu? Sungguh dia buntu.

            “Jauh termenung.”

            Lamunan Mikayla terhenti apabila ada suara garau menyapa. Dia menoleh ke belakang. 

Kelihatan seorang lelaki Eropah bertubuh tinggi lampai sedang berdiri dengan jarak beberapa kaki daripada posisi duduknya. 

Dia adalah Audric Scholz. Seorang doktor perubatan di Hospital Stanford, merangkap rakan sekerja Mikayla. 

Lelaki berusia 33 tahun itu berasal dari Jerman. Sudah hampir lima tahun bermastautin di Amerika Syarikat.

 “Audric? Kau buat apa di sini?” soal Mikayla agak kaget. Matanya mengiringi pergerakan lelaki itu yang sedang bergerak menghampiri.

“Sama seperti kau. Mahu mencari ketenangan.” Audric memberitahu.

Mikayla menggelengkan kepalanya, “Aku ke sini bukan untuk meraih ketenangan. Aku sengaja singgah ke sini sebelum pulang ke rumah.”

“Baliklah Mik, aku tahu kau penat. Seharian berhempas-pulas menyelamatkan nyawa pesakit, kau pasti perlukan rehat yang cukup,” bicara Audric lembut. 

“Boleh aku duduk?” tambahnya lagi.

“Duduklah. Inikan tempat awam. Tiada siapa yang berhak melarang sesiapa pun untuk duduk di sini,” balas Mikayla sekadar untuk berbasa-basi.

            “Danke,” Audric mengucapkan terima kasih di dalam bahasa Jerman.

“Sama-sama,” balas Mikayla ringkas. 

Audric  kemudian mengambil posisi bersebelahan Mikayla. Mereka berdua duduk di atas rumput, dengan postur tubuh menghadap ke arah tasik.

“Tadi aku mencari kau di hospital. Aku terlupa shift kau sudah habis,” bicara jejaka bermata hijau itu.

            “Aku pergi ke Stanford Law School tadi.” Mikayla memberitahu. Wajahnya kelihatan sugul. Mata redup miliknya kelihatan sembap. Seakan-akan baru lepas menangis.

            “Kau pergi menemui adik perempuan kau? Siapa namanya? Inara? ” Audric menebak. 

            “Ya, Inara,” ucap Mikayla perlahan disertai keluhan kecil.  

            “Sekarang aku tahu kenapa kau bersedih,” ujar Audric. Dia mengetap bibir disebalik penutup hidung dan mulut yang dipakainya. Perasaan belas kasihan terbentuk di jiwanya.

Tempoh hampir setahun mengenali Mikayla memadai untuk dia mengetahui serba sedikit tentang kehidupan gadis manis itu. Hubungan Mikayla dan Inara sememangnya dingin.

            “Bersabarlah Mik. Aku yakin, satu hari nanti dia pasti akan ikhlas menerima kau sebagai kakak kandungnya. Menyayangi kau seperti mana kau menyayanginya,”  Audric meluahkan rasa simpati. Dia berharap pujukannya itu sedikit sebanyak dapat menghapus kesedihan gadis itu.

            “Terima kasih, Audric. Kamu memang kawan yang baik,” bicara Mikayla tulus. Dia begitu bertuah kerana ditakdirkan menemui insan seperti Audric dalam hidupnya.

            “Sesuai dengan namaku. Audric, yang bererti teman yang baik,” ujar Audric cuba untuk menghiburkan Mikayla.

            “Mungkin kau ditakdirkan untuk lahir sebagai seorang Audric, seorang teman yang baik,”  ujar Mikayla disertai gelak kecil. Sekadar menutupi luka di hatinya kini.

            Audric turut tertawa mendengar kata-kata Mikayla. Wajah gadis itu ditatap dari tepi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jenis-jenis Personaliti

Fate