Novel Asing: Bab 1-Part 2

 INARA merengus kasar. Dia berjalan menghampiri kenderaan rakannya yang diparkir tidak jauh dari fakulti mereka. Wajahnya masam mencuka. 

            “Hey, kenapa ni In? Muka kau serius sangat,” soal Emma Watler sebaik sahaja Inara memasuki bahagian tempat duduk belakang kenderaan.

            Emma Watler. Gadis berambut ‘blonde’, berasal dari wilayah Seattle, Washington. Gadis berusia 23 tahun dengan ketinggian 175 senti meter itu, memang terkenal dengan keprihatinannya. 

            “Hati aku tengah sakit ni,” Inara memberitahu. Nafasnya berombak kencang. Dia memandang ke arah gadis yang bertanyakan soalan tadi.

            “Sakit hati dekat kakak kau?” tanya Emma spontan.             

“Tolonglah. Dia bukan kakak aku,” bohong Inara. Cuba menafikan hubungan persaudaraan antara dia dan Mikayla. Dia tidak mahu rakan-rakannya tahu wanita kolot itu merupakan kakak kandungnya.

             “Maaf. Aku tak tahu. Rick yang cakap wanita tadi itu kakak kau,” ucap Emma polos. Serentak dengan itu, dia mengalihkan pandangannya ke arah cermin pandang belakang kenderaan apabila menyedari ada sepasang mata sedang merenung tajam ke arahnya. 

            “Ops!” ucapnya sambil menutup mulut. Dia tersenyum sambil memandang ke arah lelaki itu.

            “Rick! Kau jangan sebar berita palsu. Mana kau tahu perempuan tadi tu kakak aku hah?!” ujar Inara tidak berpuas hati. Dia menolak kasar lengan lelaki yang berada di tempat duduk pemandu itu.

            Ricky Johnson menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tidak sangka pula dia Emma akan terlepas cakap.

            Tidak boleh pakailah Emma ni, protesnya di dalam hati.

            “Errr... aku teka sahaja tu. Sebab muka kau dengan perempuan tadi tu lebih kurang sama,” bohong Ricky. Sebenarnya sebelum ini wanita bernama Mikayla itu pernah menemuinya dan menawarkan dia untuk menjadi mata-mata bagi mengawasi Inara. Namun dia menolak pelawaan itu kerana prinsip tidak mencampuri urusan orang lain yang dipegangnya.

            “Errr... okeylah. Daripada kita layan emosi negatif, baik kita pergi berhibur. Summer Quater Break dah bermula, kan?” tambahnya lagi, cuba untuk mengubah topik perbualan.  

            Dia tidak mahu menambah kemarahan Inara. Gadis seusia dengannya itu memang terkenal dengan sifat panas baran. Gadis asia yang pemarah, labelnya pada Inara.

            “Hmmm...” ucap Inara sambil berpeluk tubuh. Dia membuang pandangan ke luar tingkap kenderaan yang sedang bergerak itu. 

“Boleh hantar aku ke rumah dulu? Mama aku tak bagi aku keluarlah,” beritahu Mark Martin, jejaka Irish yang agak sopan tingkahnya berbanding empat orang rakan-rakannya yang lain.

Mark Martin, berusia 22 tahun dan berpersonaliti introvert. Dia merupakan orang yang paling pendiam antara mereka berlima. 

            “Alah... kau tak ikut kita orang Mark? Bosanlah kau ni. Anak mama sangat,” Ricky mencelah. Lelaki yang berada di tempat duduk bersebelahan dengannya itu memang seorang anak yang patuh. Tidak boleh dinafikan lagi.

            “Maaf semua. Aku betul-betul tak dapat ikut,” ujar Mark bersungguh. Dia tahu rakan-rakannya pasti kecewa. Namun apakan daya, dia sudah berjanji dengan ibunya untuk terus balik ke rumah sebaik sahaja peperiksaan tamat.  

            “Okeylah kalau macam tu. Kau jangan menyesal pula nanti,” ucap Ricky akhirnya bersetuju, dalam masa yang sama masih cuba memujuk.

            Mark menggelengkan kepalanya. 

            “Aku lagi menyesal bila mama aku mengamuk kalau dapat tahu aku balik lewat malam,” balasnya sambil membayangkan wajah bengis ibunya yang garang seperti singa. Tidak dapat dia bayangkan apa hukuman yang bakal diterima sekiranya dia ingkar janji. 

            “Suka hati kaulah Mark,” komen Alice Brook yang hanya diam membisu sedari tadi. Gadis berdarah campuran Amerika-Mexico itu sudah menjangka dari awal lagi, bahawa rakannya yang satu itu tidak akan menyertai mereka.

            Alice membuka penutup hidung dan mulut yang berada di dagunya lalu disimpan ke dalam beg. Gadis berusia 22 tahun itu melepaskan ikatan pada rambutnya, kemudian dirapikan menggunakan jari.

            “Masa untuk bersuka-ria!” teriaknya tidak lama kemudian.  

Gadis berkulit coklat kemerahan itu mencuit lengan Inara.

            “Kau jadikan ikut aku malam ini?”  

            Inara menguntum senyum. 

            “Mestilah.”

 

 

 

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jenis-jenis Personaliti

Fate