Novel Asing: Prolog

 

ASING oleh MAIERA

PROLOG

 

LANGIT malam kelihatan kelam. Tidak cerah seperti kebiasaan. Butir-butir bintang yang seharusnya menjadi buruj penanda arah anak kapal di malam hari tampak aneh. Cahayanya malap, namun membias memasuki orbit bumi. Seperti ada fenomena luar biasa sedang terjadi.

            Enam orang nelayan mendongak kepala memandang langit. Mereka merupakan penduduk di kepulauan Hawaii. Terkebil-kebil memandang objek aneh yang terpamer di langit malam. Terpaku seketika tanpa bicara.

            Kapal yang dinaiki kelihatan menari-nari di pukul ombak besar perairan pasifik.  Bergerak melawan arus gelombang lautan luas terbentang. Membuatkan tubuh mereka terhumban ke kiri dan ke kanan, seiring alunan ombak berirama alam.

Permukaan air laut di kala langit warnanya hitam pekat kelihatan begitu mengerunkan. Entah makhluk apa yang bersembunyi di dasarnya. Namun, pemandangan itu sedikitpun tidak menjentik gerun di hati enam orang nelayan itu. Kerana pemandangan aneh dan luar biasa yang terpapar di layar langit nyata jauh lebih mengerunkan.

            “Makhluk asing! Makhluk asing!” laung salah seorang daripada mereka.

            Imejan tiga dimensi berbentuk bulat dan leper kelihatan berlegar-legar di langit. Dikelilingi cahaya putih terang-benderang yang memukau pandangan, dalam masa yang sama juga mengerikan.

Bintang-bintang aneh yang tadinya pegun, berputar-putar memagari objek berwarna kelabu yang kelihatan seperti sebuah piring terbang. Turut bergerak turun menghampiri sebuah pulau yang terletak tidak jauh dari tempat nelayan-nelayan itu berada.

            Mereka saling berpandangan. Begitu meyakini mereka tidak bermimpi. Suhu dingin yang menusuk masuk hingga ke tulang-belulang gagal menahan peluh daripada mengalir keluar. Kejadian pada malam itu sungguh tidak masuk akal!

            “Makhluk asing turun ke bumi! Mereka akan menakluki dunia ini!” bicara salah seorang daripada nelayan-nelayan itu. Menzahirkan teori awal yang entah benar atau tidak.

Dia menelan air liur. Tubuhnya terketar-ketar ketakutan, “Ini adalah permulaan bagi pengakhiran dunia,” bisiknya dengan nada bergetar. Sukma jiwanya gementar dirasuki ketakutan yang tiada tara.

            Benarkah apa yang dilihat mereka merupakan kapal milik makhluk asing? Jikalau benar, apa petanda disebalik kejadian itu? Benarkah semua ini permulaan bagi pengakhiran dunia?

            Biar masa yang menjawabnya.


Hak cipta terpelihara. Penulis tidak mengizinkan mana-mana pihak menyiarkan semula penulisan ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jenis-jenis Personaliti

Fate