Novel Asing: Bab 1 Part 1

 

 ASING oleh MAIERA

BAB 1

 

California, Amerika Syarikat- 2033

UDARA yang seharusnya bersifat halimunan terhadap pandangan mata kasar manusia kini membentuk kepulan seakan-akan asap putih yang menghalang daya penglihatan. Partikel-partikel asing memenuhi ruang lingkup udara, dengan kuantiti yang setanding banyak dengan gas oksigen dan karbon dioksida, yang terlibat dalam sistem respirasi makhluk bernyawa.  

            Dari kejauhan, kelihatan seorang wanita bertudung, memakai baju kurung berwarna putih dengan corak bunga-bunga kecil. Dia berjalan keluar daripada pintu utama Hospital Stanford. Pada wajahnya, terdapat penutup hidung dan mulut yang juga dipakai hampir setiap individu yang ada disekitarnya.

            Matanya meliar memerhati suasana alam sekeliling. Jumlah pengunjung hospital itu semakin meningkat hari demi hari rentetan daripada fenomena jerebu yang kian memburuk. Tidak kira tua, muda, kanak-kanak mahupun bayi, semua tidak terkecuali daripada ancaman pencemaran udara ini.

Wanita itu menghentikan langkahnya. Dia mengecilkan mata, melihat ke arah deretan kenderaan yang diparkir di tempat khas pada bahagian belakang binaan hospital itu. Pandangannya dibatasi oleh kepulan asap tebal berwarna putih kelabu. Dia menekan punat kecil pada alat kawalan jauh kenderaan miliknya, menghasilkan bunyi selama beberapa detik sebagai indikasi untuk mengesan keberadaan pacuan empat roda miliknya. 

Hampir 24 jam dia bertugas tanpa henti di hospital itu. Seharian jugalah dia tidak peroleh tidur yang cukup. Lambakkan pesakit yang memerlukan rawatan, menuntut petugas-petugas perubatan tidak terkecuali dia melakukan kerja lebih masa. Keadaan gawat seperti ini, menyebabkan mereka tidak menang tangan.

Kedengaran satu keluhan kecil daripada bibirnya. Masuk hari ini, sudah hampir tiga bulan jerebu mencetus cemas di serata dunia. Indeks Pencemaran Udara telah mencapai nilai 297 dalam waktu yang amat singkat. Berada di status udara yang sangat tidak sihat, dan beberapa digit sahaja lagi akan menuju kepada status berbahaya. Kalau itu terjadi, mungkin saja dengan sekali hirupan udara akan menyebabkan kematian.

Dia menghidupkan enjin kereta sebaik sahaja berada di dalam kenderaan miliknya. Hatinya diselubungi perasaan serba salah. Gas karbon monoksida yang dikeluarkan daripada ekzos keretanya merupakan antara salah satu penyumbang yang akan memburukkan lagi keadaan udara. Namun, dia tidak punya pilihan lain. Dalam keadaan jerebu seperti ini, sebarang aktiviti luar adalah tidak digalakkan. Oleh itu, berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan jarak yang agak jauh bukanlah suatu pilihan yang bijak.

            “Alam, maafkan aku yang membuat kerosakkan padamu. Maafkan kami ini, manusia yang mementingkan diri,” bisiknya sayu.

            Bumi semakin tenat. Jika dapat diumpamakan, keadaannya kini seperti seorang tua yang sedang melarat dan hanya menunggu ajal menjemput. Tangan-tangan manusia menyebabkan binasa dan pada akhirnya kebinasaan itu akan kembali semula pada manusia juga. Kerakusan mengejar mewah dan megah dunia, perlahan-lahan pasti akan menghancurkan ketamadunan manusia itu sendiri.  Cepat atau lambat, suatu hari nanti, kemusnahan abadi pasti akan terjadi.

 

 

BINAAN  bangunan fakulti undang-undang atau lebih dikenali sebagai Stanford Law School kelihatan harmoni dengan penggunaan warna tema, coklat lembut yang serasi dengan alam sekitarnya. Bangunan ini tersergam megah di tapak Stanford University yang terletak di pinggiran California, negeri ketiga terbesar di Amerika Syarikat.

Universiti yang mula ditubuhkan pada tahun 1885 ini mempunyai keluasan 8.180 hektar bersamaan dengan 81,800 meter per segi. Jaraknya lebih kurang 30 batu dari San Francisco.

            Di luar kawasan binaan bangunan itu, kelihatan beberapa orang pelajar sedang rancak berbual. Tiga antara mereka berjantina perempuan, manakala dua lagi berjantina lelaki. Masing-masing dengan lingkungan usia dua puluh hingga dua puluh tiga tahun.

Mereka merupakan pelajar tempatan negara itu, kecuali seorang wanita dengan warna kulit sawo matang, berketinggian 167 senti meter.

            Dia adalah Inara. Atau nama penuhnya Inara binti Ahmad. Seorang pelajar asia berasal dari Malaysia. Sebuah negara dengan kepadatan penduduk sekitar 50 juta orang. Negara yang pada empat belas tahun yang lalu hanya menempatkan seramai lebih kurang 32 juta orang penduduk, telah mengalami pertambahan jumlah secara drastik akibat kemasukan imigran luar. Bukan sahaja Malaysia, malah beberapa negara lain yang pada asalnya mempunyai penduduk yang tidak terlalu padat terpaksa menerima kemasukkan warga negara asing atas dasar kemanusiaan. Perkara ini berpunca daripada pencairan ais di kutub utara dan selatan pada kadar yang agak pantas, mengakibatkan peningkatan aras air laut sehingga menenggelamkan tempat tinggal mereka. Daratan kota-kota yang rendah ditenggelami air kerana pemanasan global yang terlalu ekstrem. 

            Gadis bernama Inara itu baru sahaja menjejak usia dua puluh tahun. Dia, antara pelajar termuda di fakulti undang-undang. Baru setahun menimba ilmu di sana.

Perbualan mereka terganggu apabila nama Inara dilaungkan seseorang. Gadis itu segera menoleh ke belakang. Dia kenal siapa pemilik suara itu. Wajahnya yang tadinya ceria bertukar muram.

            Dari kejauhan, kelihatan seorang wanita bertudung bawal sedang berjalan menuju ke arah dia. Wanita itu adalah Mikayla. Atau lebih tepat lagi Mikayla binti Ahmad. Satu-satunya kakak kandung yang dia punya.

            Menyedari akan kehadiran Mikayla, rakan-rakan Inara meminta pamitan untuk pergi. Sudah menjadi budaya mereka di sana untuk tidak masuk campur urusan peribadi orang lain. Atau dalam istilah Inggerisnya, ‘Mind your own bussiness’.

            “Kau nak apa?” soal Inara sebaik sahaja kelibat rakan-rakannya hilang daripada pandangan. Renungannya tajam menikam ke arah Mikayla.

Gadis itu, yang baru sahaja tiba sekadar mengukir senyuman ringkas apabila disoal sedemikian rupa oleh Inara.

“Ini untuk Inara. Kau pakai ya. Udara kita sekarang sudah tidak selamat lagi. Bahaya untuk paru-paru,” bicara Mikayla sambil menghulurkan sebuah kotak putih dengan tulisan ‘Medical Face Mask’.

“Hmm... nanti aku pakai,” jawab Inara acuh tak acuh sambil mengambil kotak putih yang diserahkan Mikayla kepadanya. Dia satu-satunya orang yang tidak memakai penutup mulut dan hidung di sana pada ketika itu.  

“Kau buat apa dekat sini?” tambahnya lagi.

            “Aku hendak jemput kau. Ingatkan nak bawa kau menginap di rumah aku. Hari ni peperiksaan terakhirkan?” ucap Mikayla penuh ramah.

            Wajah bengis Inara ditatap lembut. Dia tahu, Inara tidak suka akan kehadirannya di situ.

            Kelihatan Inara berdesis sinis. Lalu dia berkata, “Kau tidak payah susah-susahlah. Aku sudah janji dengan kawan-kawan aku nak jalan sama-sama petang ni.”

            “Kawan-kawan kau yang tadi tu?” soal Mikayla ingin tahu.

            “Hmmm...”

            “Inara... aku bukan bermaksud untuk menilai sesiapa. Tapi... budaya kita tidak sama. Cara hidup kita berbeza,” ujar Mikayla meluahkan kerisauan di hatinya.

            “Kau tak payah nak bagi ceramahlah dekat sini. Menyemak tahu tak? Dan memangpun budaya kita lain. Sebab budaya kita kolot! Ketinggalan zaman. Macam kau juga. Pakaianpun tak ikut fesyen. Memalukan aku sahaja bila berjalan dengan kau,” ucap  Inara mulai meninggikan suara.

            Dia memandang kakaknya dari atas ke bawah. Wanita itu memakai baju kurung dan bertudung bawal. Pakaian yang tidak asing di negara asalnya, namun agak asing di negara tempat mereka berada kini. Bibirnya mengukir senyuman sinis.

            Old school, bisiknya di dalam hati.

            “Kenapa cakap macam tu dik. Kita orang melayu. Punya budaya ketimuran. Ingat asal-usul dik.”

            “Dahlah! Kalau kau ke sini untuk sakitkan hati aku, lebih baik kau pergi. Berambus!”  Inara menyeringai kasar. Panas hatinya mendengar setiap ucapan yang meniti di bibir Mikayla. Dia benci dengan wanita itu. Dia bencikan kakak kandungnya sendiri.

            “Aku minta maaf. Aku tidak berniat untuk sakitkan hati kau. Tapi aku tak mahu kau tersalah jalan,” kata Mikayla dengan nada memujuk.

            “Oh, habis tu jalan kau tu betul sangatlah? Hoi, kau dengar sini ya! Aku jadi macam ni sebab kau. Sebab kaulah mak tak sayangkan aku. Mak pilih kasih.  Di mata mak, kau sahaja yang betul, aku ni dianggap anak tak berguna. Mak tak adil!” bentak Inara meluahkan perasaan tidak puas hatinya. Tidak habis-habis dengan perasaan dendamnya yang tidak berasas itu.

            “Adik... janganlah cakap macam ni. Mak sayangkan kita berdua. Tiada bezanya. Percayalah,” ungkap Mikayla lembut. Matanya kelihatan berkaca menahan sebak.

            “Cukuplah... cukup. Aku dah muak. Sekarang ni kau tolong jangan ganggu hidup aku lagi. Aku rimas tahu tak!”

            Usai berbicara, Inara terus melangkah pergi. Kehadiran Mikayla pada petang itu benar-benar telah merosakkan moodnya.

            “Inara tunggu... Inara...”

            Panggilan Mikayla langsung tidak diendahkan Inara. Gadis itu terus melangkah tanpa menoleh sedikitpun ke belakang. Kemarahannya terhadap Mikayla semakin meluap-luap.

            Mikayla hampa. Niatnya untuk memperbaiki hubungan mereka dua-beradik yang semakin dingin tidak kesampaian, malah bertambah teruk. Dia tidak tahu di mana silapnya, sehingga apa sahaja yang dia lakukan, pasti akan mengundang kebencian Inara terhadapnya.

            “Nampaknya, dia masih marahkan aku,” ucap Mikayla bernada kesal. Dia tertunduk lemah memandang ke lantai bumi.

            Tanpa disedari, ada air mata jernih yang mengalir di pipi. Hatinya sayu mengenangkan hubungan antara mereka adik-beradik yang kian menjauh.

            “Maafkan Kayla, mak, ayah. Kayla gagal jadi kakak yang baik buat Inara.” Air mata yang mengalir di pipinya diusap perlahan.

 

 

INARA merengus kasar. Dia berjalan menghampiri kenderaan rakannya yang diparkir tidak jauh dari fakulti mereka. Wajahnya masam mencuka.

            “Hey, kenapa ni In? Muka kau serius sangat,” soal Emma Watler sebaik sahaja Inara memasuki bahagian tempat duduk belakang kenderaan.

            Emma Watler. Gadis berambut ‘blonde’, berasal dari wilayah Seattle, Washington. Gadis berusia 23 tahun dengan ketinggian 175 senti meter itu, memang terkenal dengan keprihatinannya.

            “Hati aku tengah sakit ni,” Inara memberitahu. Nafasnya berombak kencang. Dia memandang ke arah gadis yang bertanyakan soalan tadi.

            “Sakit hati dekat kakak kau?” tanya Emma spontan.            

“Tolonglah. Dia bukan kakak aku,” bohong Inara. Cuba menafikan hubungan persaudaraan antara dia dan Mikayla. Dia tidak mahu rakan-rakannya tahu wanita kolot itu merupakan kakak kandungnya.

             “Maaf. Aku tidak tahu. Rick yang cakap wanita tadi itu kakak kau,” ucap Emma polos. Serentak dengan itu, dia mengalihkan pandangannya ke arah cermin pandang belakang kenderaan apabila menyedari ada sepasang mata sedang merenung tajam ke arahnya.

            “Ops!” ucapnya sambil menutup mulut. Dia tersenyum sambil memandang ke arah lelaki itu.

            “Rick! Kau jangan sebar berita palsu. Mana kau tahu perempuan tadi tu kakak aku hah?!” ujar Inara tidak berpuas hati. Dia menolak kasar lengan lelaki yang berada di tempat duduk pemandu itu.

            Ricky Johnson menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tidak sangka pula dia Emma akan terlepas cakap.

            Tidak boleh pakailah Emma ni, protesnya di dalam hati.

            “Errr... aku teka sahaja tu. Sebab muka kau dengan perempuan tadi tu lebih kurang sama,” bohong Ricky. Sebenarnya sebelum ini wanita bernama Mikayla itu pernah menemuinya dan menawarkan dia untuk menjadi mata-mata bagi mengawasi Inara. Namun dia menolak pelawaan itu kerana prinsip tidak mencampuri urusan orang lain yang dipegangnya.

            “Errr... okeylah. Daripada kita layan emosi negatif, baik kita pergi berhibur. Summer Quater Break dah bermulakan?” tambahnya lagi, cuba untuk mengubah topik perbualan.  

            Dia tidak mahu menambah kemarahan Inara. Gadis seusia dengannya itu memang terkenal dengan sifat panas baran. Gadis asia yang pemarah, labelnya pada Inara.

            “Hmmm...” ucap Inara sambil berpeluk tubuh. Dia membuang pandangan ke luar tingkap kenderaan yang sedang bergerak itu.

“Boleh hantar aku ke rumah dulu? Mama aku tak bagi aku keluarlah,” beritahu Mark Martin, jejaka Irish yang agak sopan tingkahnya berbanding empat orang rakan-rakannya yang lain.

Mark Martin, berusia 22 tahun dan personaliti introvert. Dia merupakan orang yang paling pendiam antara mereka berlima.

            “Alah... kau tak ikut kitaorang Mark? Bosanlah kau ni. Anak mama sangat,” Ricky mencelah. Lelaki yang berada di tempat duduk bersebelahan dengannya itu memang seorang anak yang patuh. Tidak boleh dinafikan lagi.

            “Maaf semua. Aku betul-betul tak dapat ikut,” ujar Mark bersungguh. Dia tahu rakan-rakannya pasti kecewa. Namun apakan daya, dia sudah berjanji dengan ibunya untuk terus balik ke rumah sebaik sahaja peperiksaan tamat.  

            “Okeylah kalau macam tu. Kau jangan menyesal pula nanti,” ucap Ricky akhirnya bersetuju, dalam masa yang sama masih cuba memujuk.

            Mark menggelengkan kepalanya.

            “Aku lagi menyesal bila mama aku mengamuk kalau dapat tahu aku balik lewat malam,” balasnya sambil membayangkan wajah bengis ibunya yang garang seperti singa. Tidak dapat dia bayangkan apa hukuman yang bakal diterima sekiranya dia ingkar janji.

            “Suka hati kaulah Mark,” komen Alice Brook yang hanya diam membisu sedari tadi. Gadis berdarah campuran Amerika-Mexico itu sudah menjangka dari awal lagi, bahawa rakannya yang satu itu tidak akan menyertai mereka.

            Alice Brook membuka penutup hidung dan mulut yang berada di dagunya lalu disimpan ke dalam beg. Gadis berusia 22 tahun itu melepaskan ikatan pada rambutnya, kemudian dirapikan menggunakan jari.

            “Masa untuk bersuka-ria!” teriaknya tidak lama kemudian.  

Gadis berkulit coklat kemerahan itu mencuit lengan Inara.

            “Kau jadikan ikut aku malam ini?”  

            Inara menguntum senyum.

            “Mestilah.”



Hak cipta terpelihara. Penulis tidak mengizinkan mana-mana pihak menyiarkan semula penulisan ini.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jenis-jenis Personaliti

Fate