'Dahlia Rooftop'

Dahlia Rooftop

Sejahtera ke atas mu.

Gambar di atas tu kalau tidak silap aku diambil pada tahun 2016, bertempat di atas bumbung asrama Blok Dahlia Institusi Pengajian tempat aku menimba ilmu.

Sekeping gambar yang biasa-biasa sahaja jika dilihat dari zahirnya. Namun pada hakikatnya ia menyimpan sebuah kisah yang mungkin saja menjadi kenangan manis dan mungkin juga pahit antara aku dan 11 orang lagi rakan-rakanku yang lain.

Petang itu, kami dua belas orang gadis-gadis yang baru menginjak usia 19 hingga 20 tahun dengan semangat yang berkobar-kobar memanjat bumbung asrama blok Dahlia. Bangunan yang terletak bersebelahan dengan blok Cempaka, yang kami diami.

Tujuannya, untuk mengambil gambar pemandangan bertemakan 'silhouette' di waktu senja. Atau dalam erti kata lain, untuk mendapatkan view yang terbaik untuk tugasan yang diberikan pensyarah, bagi kursus fotografi yang kami ambil semester itu.

Hampir beberapa waktu kami di sana, terpaku dengan keindahan alam panorama yang mendamaikan pemandangan jiwa. Lensa kamera tidak henti-henti menangkap imej-imej memukau yang terpamer dihadapan mata. Diri dipalit rasa kagum. Leka seketika tanpa peduli lagi keadaan sekeliling. Seumpama, dunia kami yang punya.

Namun, keasyikkan kami terhenti setelah mendengar suara agak keras dan kuat memanggil kami semua. Memberi arahan untuk turun daripada bumbung tempat kami berdiri megah kini. Suara itu datangnya dari arah bawah.

Dari keterujaan, bertukar rasa gentar dan gelisah. Baru kami sedari bahawa perbuatan kami adalah sesuatu yang salah dan merbahaya.

Dengan akur dan sedikit kecut perut, kami perlahan-lahan turun daripada bumbung itu menuju ke tingkat bawah. Sepanjang perjalanan singkat yang terasa panjang itu, kami disambut dengan 'kecaman' daripada penghuni blok tersebut.

Malunya, hanya Tuhan yang tahu.

Setibanya dibawah, pensyarah mempersoalkan tindakan kami berada di atas bumbung tingkat tiga yang tinggi itu. Kata salah seorang daripada mereka, dia melihat kami melompat-lompat di atas bumbung asrama kemudian bergegas pergi ke sini. Beliau khawatir dengan keselamatan kami.

Dan kami telah melakukan dua kesalahan pada petang itu akibat keterujaan kami untuk meneroka pembelajaran yang baru. Mencari pengalaman yang lain daripada yang lain.

 Kesalahan pertama, menceroboh masuk ke asrama orang tanpa meminta kebenaran. Kedua, naik ke bumbung asrama dan membuat aktiviti yang merbahaya (melompat-lompat di sana).

Ya, kami akur dengan kesalahan kami. Dan kami tahu apa yang kami lakukan tidak benar sama sekali.

Namun, jika ada yang bertanya kepadaku, adakah aku menyesal telah melakukan aktiviti itu pada petang tersebut, jujur aku katakan, aku tidak menyesalinya. Kerana, daripada kesilapan itulah aku belajar sesuatu yang baru.

Aku belajar untuk berfikir dahulu sebelum bertindak.
Aku belajar untuk meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk ke kawasan orang lain.
Dan yang paling penting, mengutamakan keselamatan diri walaupun tujuannya adalah untuk menimba ilmu.

Jadi, ingin aku simpulkan bahawa kita ini manusia. Tidak lari dari sifat ketidaksempurnaan. Manusia dan melakukan kesilapan tidak boleh dipisahkan. Usah kita kesali kesilapan lalu yang telah kita lakukan. Sebaiknya belajarlah daripada kesilapan itu, dan jadikan ia pengajaran untuk masa akan datang. Jangan jadikan kesilapan lalu sebagai satu bebanan yang membuat emosi dan fikiran kita terganggu. Membuat kita berkata... "Seandainya masa boleh diputar kembali... aku akan...."

Kerana pada hakikatnya, masa tidak akan dapat diulang semula. Apa yang telah berlaku akan tetap berlalu. Menyesali masa silam akan membuat kita buta dalam melihat masa depan. Membuat kita terperangkap dalam memori lalu.

Sahabat,
Kau, aku, kita semua... pendosa.
Maafkan diri kita atas kesalahan yang pernah kita lakukan
Jangan disiksa diri dengan penyesalan yang tiada habisnya
Kerana, diri kita berhak beroleh kemaafan dari kita sendiri.
Maafkanlah... dengan izin ALLAH, ketenangan akan menyusulimu.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jenis-jenis Personaliti

Fate