Novel Asing: Bab 1 Part 1
BAB
1
California, Amerika Syarikat- 2033
UDARA yang seharusnya bersifat halimunan terhadap pandangan
mata kasar manusia kini membentuk kepulan seakan-akan asap putih yang
menghalang daya penglihatan. Partikel-partikel asing memenuhi ruang lingkup
udara, dengan kuantiti yang setanding banyak dengan gas oksigen dan karbon
dioksida, yang terlibat dalam sistem respirasi makhluk bernyawa.
Dari
kejauhan, kelihatan seorang wanita bertudung, memakai baju kurung berwarna putih
dengan corak bunga-bunga kecil. Dia berjalan keluar daripada pintu utama
Hospital Stanford. Pada wajahnya, terdapat penutup hidung dan mulut yang juga
dipakai hampir setiap individu yang ada disekitarnya.
Matanya
meliar memerhati suasana alam sekeliling. Jumlah pengunjung hospital itu
semakin meningkat hari demi hari rentetan daripada fenomena jerebu yang kian
memburuk. Tidak kira tua, muda, kanak-kanak mahupun bayi, semua tidak
terkecuali daripada ancaman pencemaran udara ini.
Wanita itu menghentikan langkahnya. Dia mengecilkan mata,
melihat ke arah deretan kenderaan yang diparkir di tempat khas pada bahagian
belakang binaan hospital itu. Pandangannya dibatasi oleh kepulan asap tebal
berwarna putih kelabu. Dia menekan punat kecil pada alat kawalan jauh kenderaan
miliknya, menghasilkan bunyi selama beberapa detik sebagai indikasi untuk mengesan
keberadaan pacuan empat roda miliknya.
Hampir 24 jam dia bertugas tanpa henti di hospital itu.
Seharian jugalah dia tidak peroleh tidur yang cukup. Lambakkan pesakit yang
memerlukan rawatan, menuntut petugas-petugas perubatan tidak terkecuali dia
melakukan kerja lebih masa. Keadaan gawat seperti ini, menyebabkan mereka tidak
menang tangan.
Kedengaran satu keluhan kecil daripada bibirnya. Masuk
hari ini, sudah hampir tiga bulan jerebu mencetus cemas di serata dunia. Indeks
Pencemaran Udara telah mencapai nilai 297 dalam waktu yang amat singkat. Berada
di status udara yang sangat tidak sihat, dan beberapa digit sahaja lagi akan
menuju kepada status berbahaya. Kalau itu terjadi, mungkin saja dengan sekali
hirupan udara akan menyebabkan kematian.
Dia menghidupkan enjin kereta sebaik sahaja berada di
dalam kenderaan miliknya. Hatinya diselubungi perasaan serba salah. Gas karbon
monoksida yang dikeluarkan daripada ekzos keretanya merupakan antara salah satu
penyumbang yang akan memburukkan lagi keadaan udara. Namun, dia tidak punya
pilihan lain. Dalam keadaan jerebu seperti ini, sebarang aktiviti luar adalah
tidak digalakkan. Oleh itu, berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat yang
lain dengan jarak yang agak jauh bukanlah suatu pilihan yang bijak.
“Alam,
maafkan aku yang membuat kerosakkan padamu. Maafkan kami ini, manusia yang
mementingkan diri,” bisiknya sayu.
Bumi
semakin tenat. Jika dapat diumpamakan, keadaannya kini seperti seorang tua yang
sedang melarat dan hanya menunggu ajal menjemput. Tangan-tangan manusia
menyebabkan binasa dan pada akhirnya kebinasaan itu akan kembali semula pada
manusia juga. Kerakusan mengejar mewah dan megah dunia, perlahan-lahan pasti
akan menghancurkan ketamadunan manusia itu sendiri. Cepat atau lambat, suatu hari nanti,
kemusnahan abadi pasti akan terjadi.
BINAAN bangunan fakulti
undang-undang atau lebih dikenali sebagai Stanford Law School kelihatan harmoni
dengan penggunaan warna tema, coklat lembut yang serasi dengan alam sekitarnya.
Bangunan ini tersergam megah di tapak Stanford University yang terletak di
pinggiran California, negeri ketiga terbesar di Amerika Syarikat.
Universiti yang mula ditubuhkan pada tahun 1885 ini
mempunyai keluasan 8.180 hektar bersamaan dengan 81,800 meter per segi.
Jaraknya lebih kurang 30 batu dari San Francisco.
Di luar
kawasan binaan bangunan itu, kelihatan beberapa orang pelajar sedang rancak
berbual. Tiga antara mereka berjantina perempuan, manakala dua lagi berjantina
lelaki. Masing-masing dengan lingkungan usia dua puluh hingga dua puluh tiga
tahun.
Mereka merupakan pelajar tempatan negara itu, kecuali seorang
wanita dengan warna kulit sawo matang, berketinggian 167 senti meter.
Dia
adalah Inara. Atau nama penuhnya Inara binti Ahmad. Seorang pelajar asia
berasal dari Malaysia. Sebuah negara dengan kepadatan penduduk sekitar 50 juta orang. Negara yang pada empat belas tahun yang lalu
hanya menempatkan seramai lebih kurang 32 juta orang penduduk, telah mengalami
pertambahan jumlah secara drastik akibat kemasukan imigran luar. Bukan sahaja
Malaysia, malah beberapa negara lain yang pada asalnya mempunyai penduduk yang tidak
terlalu padat terpaksa menerima kemasukkan warga negara asing atas dasar
kemanusiaan. Perkara ini berpunca daripada pencairan ais di kutub utara dan selatan
pada kadar yang agak pantas, mengakibatkan peningkatan aras air laut sehingga
menenggelamkan tempat tinggal mereka. Daratan kota-kota yang rendah
ditenggelami air kerana pemanasan global yang terlalu ekstrem.
Gadis
bernama Inara itu baru sahaja menjejak usia dua puluh tahun. Dia, antara pelajar
termuda di fakulti undang-undang. Baru setahun menimba ilmu di sana.
Perbualan mereka terganggu apabila nama
Inara dilaungkan seseorang. Gadis itu segera menoleh ke belakang. Dia kenal
siapa pemilik suara itu. Wajahnya yang tadinya ceria bertukar muram.
Dari
kejauhan, kelihatan seorang wanita bertudung bawal sedang berjalan menuju ke
arah dia. Wanita itu adalah Mikayla. Atau lebih tepat lagi Mikayla binti Ahmad.
Satu-satunya kakak kandung yang dia punya.
Menyedari
akan kehadiran Mikayla, rakan-rakan Inara meminta pamitan untuk pergi. Sudah
menjadi budaya mereka di sana untuk tidak masuk campur urusan peribadi orang
lain. Atau dalam istilah Inggerisnya, ‘Mind
your own bussiness’.
“Kau
nak apa?” soal Inara sebaik sahaja kelibat rakan-rakannya hilang daripada
pandangan. Renungannya tajam menikam ke arah Mikayla.
Gadis itu, yang baru sahaja tiba sekadar
mengukir senyuman ringkas apabila disoal sedemikian rupa oleh Inara.
“Ini untuk Inara. Kau pakai ya. Udara
kita sekarang sudah tidak selamat lagi. Bahaya untuk paru-paru,” bicara Mikayla
sambil menghulurkan sebuah kotak putih dengan tulisan ‘Medical Face Mask’.
“Hmm... nanti aku pakai,” jawab Inara
acuh tak acuh sambil mengambil kotak putih yang diserahkan Mikayla kepadanya.
Dia satu-satunya orang yang tidak memakai penutup mulut dan hidung di sana pada
ketika itu.
“Kau buat apa dekat sini?” tambahnya
lagi.
“Aku hendak jemput kau. Ingatkan nak bawa kau menginap di rumah aku. Hari ni
peperiksaan terakhirkan?” ucap Mikayla penuh ramah.
Wajah
bengis Inara ditatap lembut. Dia tahu, Inara tidak suka akan kehadirannya di
situ.
Kelihatan
Inara berdesis sinis. Lalu dia berkata, “Kau tidak payah susah-susahlah. Aku sudah
janji dengan kawan-kawan aku nak jalan sama-sama petang ni.”
“Kawan-kawan kau yang tadi tu?” soal Mikayla ingin tahu.
“Hmmm...”
“Inara... aku bukan bermaksud untuk menilai sesiapa. Tapi... budaya kita tidak sama. Cara hidup kita berbeza,” ujar Mikayla meluahkan kerisauan di hatinya.
“Kau
tak payah nak bagi ceramahlah dekat sini. Menyemak tahu tak? Dan memangpun
budaya kita lain. Sebab budaya kita kolot! Ketinggalan zaman. Macam kau juga.
Pakaianpun tak ikut fesyen. Memalukan aku sahaja bila berjalan dengan kau,”
ucap Inara mulai meninggikan suara.
Dia
memandang kakaknya dari atas ke bawah. Wanita itu memakai baju kurung dan bertudung
bawal. Pakaian yang tidak asing di negara asalnya, namun agak asing di negara
tempat mereka berada kini. Bibirnya mengukir senyuman sinis.
Old school, bisiknya di dalam hati.
“Kenapa
cakap macam tu dik. Kita orang melayu. Punya budaya ketimuran. Ingat asal-usul dik.”
“Dahlah!
Kalau kau ke sini untuk sakitkan hati aku, lebih baik kau pergi. Berambus!” Inara menyeringai kasar. Panas hatinya
mendengar setiap ucapan yang meniti di bibir Mikayla. Dia benci dengan wanita
itu. Dia bencikan kakak kandungnya sendiri.
“Aku minta maaf. Aku tidak berniat untuk sakitkan hati kau. Tapi aku tak mahu kau tersalah jalan,” kata Mikayla dengan nada memujuk.
“Oh,
habis tu jalan kau tu betul sangatlah? Hoi, kau dengar sini ya! Aku jadi macam
ni sebab kau. Sebab kaulah mak tak sayangkan aku. Mak pilih kasih. Di mata mak, kau sahaja yang betul, aku ni
dianggap anak tak berguna. Mak tak adil!” bentak Inara meluahkan perasaan tidak
puas hatinya. Tidak habis-habis dengan perasaan dendamnya yang tidak berasas
itu.
“Adik...
janganlah cakap macam ni. Mak sayangkan kita berdua. Tiada bezanya.
Percayalah,” ungkap Mikayla lembut. Matanya kelihatan berkaca menahan sebak.
“Cukuplah...
cukup. Aku dah muak. Sekarang ni kau tolong jangan ganggu hidup aku lagi. Aku
rimas tahu tak!”
Usai
berbicara, Inara terus melangkah pergi. Kehadiran Mikayla pada petang itu
benar-benar telah merosakkan moodnya.
“Inara tunggu... Inara...”
Panggilan
Mikayla langsung tidak diendahkan Inara. Gadis itu terus melangkah tanpa
menoleh sedikitpun ke belakang. Kemarahannya terhadap Mikayla semakin
meluap-luap.
Mikayla
hampa. Niatnya untuk memperbaiki hubungan mereka dua-beradik yang semakin
dingin tidak kesampaian, malah bertambah teruk. Dia tidak tahu di mana
silapnya, sehingga apa sahaja yang dia lakukan, pasti akan mengundang kebencian
Inara terhadapnya.
“Nampaknya,
dia masih marahkan aku,” ucap Mikayla bernada kesal. Dia tertunduk lemah
memandang ke lantai bumi.
Tanpa
disedari, ada air mata jernih yang mengalir di pipi. Hatinya sayu mengenangkan
hubungan antara mereka adik-beradik yang kian menjauh.
“Maafkan
Kayla, mak, ayah. Kayla gagal jadi kakak yang baik buat Inara.” Air mata yang
mengalir di pipinya diusap perlahan.
INARA merengus kasar. Dia berjalan menghampiri
kenderaan rakannya yang diparkir tidak jauh dari fakulti mereka. Wajahnya masam
mencuka.
“Hey, kenapa ni In? Muka kau serius
sangat,” soal Emma Watler sebaik sahaja Inara memasuki bahagian tempat duduk
belakang kenderaan.
Emma
Watler. Gadis berambut ‘blonde’,
berasal dari wilayah Seattle, Washington. Gadis berusia 23 tahun dengan
ketinggian 175 senti meter itu, memang terkenal dengan keprihatinannya.
“Hati
aku tengah sakit ni,” Inara memberitahu. Nafasnya berombak kencang. Dia
memandang ke arah gadis yang bertanyakan soalan tadi.
“Sakit
hati dekat kakak kau?” tanya Emma spontan.
“Tolonglah. Dia bukan kakak aku,” bohong
Inara. Cuba menafikan hubungan persaudaraan antara dia dan Mikayla. Dia tidak
mahu rakan-rakannya tahu wanita kolot itu merupakan kakak kandungnya.
“Maaf. Aku tidak tahu. Rick yang cakap wanita
tadi itu kakak kau,” ucap Emma polos. Serentak dengan itu, dia mengalihkan
pandangannya ke arah cermin pandang belakang kenderaan apabila menyedari ada
sepasang mata sedang merenung tajam ke arahnya.
“Ops!”
ucapnya sambil menutup mulut. Dia tersenyum sambil memandang ke arah lelaki itu.
“Rick!
Kau jangan sebar berita palsu. Mana kau tahu perempuan tadi tu kakak aku hah?!”
ujar Inara tidak berpuas hati. Dia menolak kasar lengan lelaki yang berada di
tempat duduk pemandu itu.
Ricky
Johnson menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tidak sangka pula dia Emma akan
terlepas cakap.
Tidak
boleh pakailah Emma ni, protesnya di dalam hati.
“Errr...
aku teka sahaja tu. Sebab muka kau dengan perempuan tadi tu lebih kurang sama,”
bohong Ricky. Sebenarnya sebelum ini wanita bernama Mikayla itu pernah
menemuinya dan menawarkan dia untuk menjadi mata-mata bagi mengawasi Inara.
Namun dia menolak pelawaan itu kerana prinsip tidak mencampuri urusan orang
lain yang dipegangnya.
“Errr...
okeylah. Daripada kita layan emosi negatif, baik kita pergi berhibur. Summer Quater Break dah bermulakan?” tambahnya
lagi, cuba untuk mengubah topik perbualan.
Dia
tidak mahu menambah kemarahan Inara. Gadis seusia dengannya itu memang terkenal
dengan sifat panas baran. Gadis asia yang pemarah, labelnya pada Inara.
“Hmmm...”
ucap Inara sambil berpeluk tubuh. Dia membuang pandangan ke luar tingkap
kenderaan yang sedang bergerak itu.
“Boleh hantar aku ke rumah dulu? Mama
aku tak bagi aku keluarlah,” beritahu Mark Martin, jejaka Irish yang agak sopan
tingkahnya berbanding empat orang rakan-rakannya yang lain.
Mark Martin, berusia 22 tahun dan
personaliti introvert. Dia merupakan orang yang paling pendiam antara mereka
berlima.
“Alah...
kau tak ikut kitaorang Mark? Bosanlah kau ni. Anak mama sangat,” Ricky mencelah.
Lelaki yang berada di tempat duduk bersebelahan dengannya itu memang seorang
anak yang patuh. Tidak boleh dinafikan lagi.
“Maaf
semua. Aku betul-betul tak dapat ikut,” ujar Mark bersungguh. Dia tahu
rakan-rakannya pasti kecewa. Namun apakan daya, dia sudah berjanji dengan
ibunya untuk terus balik ke rumah sebaik sahaja peperiksaan tamat.
“Okeylah
kalau macam tu. Kau jangan menyesal pula nanti,” ucap Ricky akhirnya bersetuju,
dalam masa yang sama masih cuba memujuk.
Mark
menggelengkan kepalanya.
“Aku
lagi menyesal bila mama aku mengamuk kalau dapat tahu aku balik lewat malam,”
balasnya sambil membayangkan wajah bengis ibunya yang garang seperti singa.
Tidak dapat dia bayangkan apa hukuman yang bakal diterima sekiranya dia ingkar
janji.
“Suka
hati kaulah Mark,” komen Alice Brook yang hanya diam membisu sedari tadi. Gadis
berdarah campuran Amerika-Mexico itu sudah menjangka dari awal lagi, bahawa
rakannya yang satu itu tidak akan menyertai mereka.
Alice
Brook membuka penutup hidung dan mulut yang berada di dagunya lalu disimpan ke
dalam beg. Gadis berusia 22 tahun itu melepaskan ikatan pada rambutnya,
kemudian dirapikan menggunakan jari.
“Masa
untuk bersuka-ria!” teriaknya tidak lama kemudian.
Gadis berkulit coklat kemerahan itu
mencuit lengan Inara.
“Kau
jadikan ikut aku malam ini?”
Inara
menguntum senyum.
“Mestilah.”
Hak cipta terpelihara.
Penulis tidak mengizinkan mana-mana pihak menyiarkan semula penulisan ini.
Ulasan
Catat Ulasan